Kisah Umar bin Khathab Mengubur Hidup-hidup Puterinya

Kisah Umar bin Khathab Mengubur Hidup-hidup PuterinyaAda beberapa buah buku yang disebarkan dengan cukup luas di masyarakat yang memuat kisah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh yang konon telah membunuh seorang anak perempuan dengan menguburnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Masuk Surga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional (1984), halaman 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di dalam surat kabar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan Bestari (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama “Ilham” (Harakah, 30 Nov. 1998). Keduanya memuat cerita yang sama dengan sedikit perbedaan narasinya.

Jika cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan citra Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh sebagai sahabat karib Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam dan khalifah agung umat Islam.
Image result for perempuan zaman rasul
Cerita yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka menyebarkannya. Pertama, karena jahil dan kedua adalah karena menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh berada di zaman Jahiliyah.
Apa peliknya andaikata semasa Jahiliyah itu Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah melakukan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam? Dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk pribadi manusia, sehingga manusia yang sekejam Umar Radhiyallahu ‘Anh itu pun setelah memeluk Islam menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian.
Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia karena ini pun telah terbukti melalui sekian banyak riwayat-riwayat yang shahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berdasar atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?
Alangkah berguna kepada para pembaca sekalian sekiranya penulis buku-buku dan artikel-artikel tersebut mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang banyak itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.
Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan didapatkan walaupun bayangannya di dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali mulanya ia direka oleh musuh Islam, tetapi sungguh malang sekali kita umat Islam hari ini, karena menerima apa saja yang disodorkan dalam bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam telah pun bersabda yang berarti;
“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)
Tujuan penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam, juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam dan sahabat-sahabat Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam karena mereka adalah cermin agama Islam.
Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bagian terpenting dari kisah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh mengubur hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar tersebut). Begini ceritanya …
“… Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. … Umar menutupkan mata dan terpikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir …”
Selain kisah ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab shahih dan muktabar, ia juga bertolak belakang dengan kaidah ilmu periwayatan yang dipakai oleh ulama’ Islam dalam menilai sesuatu cerita.
Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:
1. Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuktikan seorang pun dari kabilah Quraisy pernah mengubur anak hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh membunuh anak perempuan sendiri.
2. Adat mengubur anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka disebabkan anak-anak itu. (Mohd Tayyib An Najjar, Al Qabasu Al Waddha’, halaman 78, Zakaria Bashier, The Meccan Crucible, halaman 24).
Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku mengubur hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliyah, di sana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kabilah yang sama telah menyelamatkan sekian banyak anak-anak perempuan dari dibunuh oleh ibu bapak mereka karena takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan itu.
Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, kakek dari Al Farazdaq (seorang penyair Arab yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin Nufail.
Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan dari kedua ibu bapak mereka, kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (Ath Thabarani dalam Al Mu’jamu Al Kabir, jilid 8, halaman 77).
Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan sisa-sisa peninggalan agama Nabi Ibrahim (‘Alaihis Salam). Beliau juga membeli anak-anak perempuan dari ibu bapak mereka lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa anak perempuan itu kepada dua ibu bapak masing-masing lalu berkata kepada mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, halaman 540.)
Zaid bin Amar bin Nufail bukan saja dari keluarga Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh malah beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh sendiri. Adik perempuan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh menjadi isteri kepada anaknya Sa’id, manakala anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh sendiri. Takkanlah dalam keluarga yang terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan dari dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menyerlah dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anak sendiri!
3. Setelah Mekah dibuka, Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berbai’at dengan perempuan-perempuan Mukmin. Di antara ucapan Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam ialah:  “Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”
Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci, kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini.
Sabda Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam yang bermaksud;
“Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga kedudukan dan harta benda suami.” (Shahih Muslim, jilid 16 halaman 81)
Apa artinya pujian Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam mengenai sifat penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam diutuskan menjadi Nabi, Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.
Dalam tradisi Arab, seseorang itu di-kunyah-kan dengan anak sulungnya. Sebagaimana kunyah Nabi kita Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam ialah Abu Al Qasim, kunyah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh ialah Abu Hafsin yang merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.
Perlu juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa banyakkah isteri Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh dan juga hamba sahayanya di samping anak-anak beliau dengan mereka itu?
Karena sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh, Imam Ibnu Al Jauzi dan lain-lain telah menuliskan daftar isteri-isteri Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat banyak anak.”
Isteri beliau ialah:
  1. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafshah, Abdullah, dan Abdul Rahman.
  2. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.
  3. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Ashim.
  4. Ummul Hakam binti Al Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
  5. Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar.
  6. Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Ashghar dan Ruqayyah.
  7. Dari hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Ausath dan Abdul Rahman Al Ashghar.
Jadi anak-anak Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh adalah seperti berikut:
Lelaki:
  1. Abdullah
  2. Abdul Rahman Al Akbar
  3. Abdul Rahman Al Ausath
  4. Abdul Rahman Al Ashghar
  5. Zaid Al Akbar
  6. Zaid Al Ashghar
  7. Ubaidullah
  8. ‘Ashim
  9. ‘lyadh
Perempuan:
  1. Hafshah
  2. Ruqayyah
  3. Fatimah
  4. Zainab
Dari isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh hanya mendapat tiga orang anak yaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman Al Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikunyahkan dengan Abu Hafsin.
Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini saja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh itu? Siapakah namanya dan siapakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kunyah Abu Hafsin?
Selain dari alasan yang disebutkan tadi, adakah logik Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?
Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunan-nya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.
Riwayat itu menyebutkan bahwa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliyah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya memegang tangannya dan mendorongnya masuk ke dalam telaga. Kata-kata terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, ‘Ayah!’”
Mendengar ceritanya itu Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam.” Nabi bersabda, “Orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu (kesedihan Rasulullah).” Seraya Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata kepada orang itu, “Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu pun mengulangi lagi sekali kisah tersebut menyebabkan Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam menangis sehingga basah janggutnya.
Kemudian Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman Jahiliyah telah dihapuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulaikanlah amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, halaman 3)
Ini adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh padahal cerita ini pun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak dapat disabitkan karena Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!
Dalam istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqathi’, karena perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya. Imam Bukhari, Muslim, dan Nasa’i tidak mau menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata, “Sebagian riwayatnya baik, tetapi sebagian yang lain sangatlah buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan Al I’tidal, jilid 4, halaman 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahwa, “Ingatannya sangat jelek di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.” (Taqribu At Tahzib jilid 2 halaman 331)
Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan sengaja, kecuali oleh musuh-musuh Islam.


No comments:

Write a Comment


Top